Monday, April 19, 2010

Latihan Sukarelawan Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 Di Kompleks Belia dan Sukan Air Keroh, Melaka






Pada 17 dan 18 April aku bersama beberapa orang rakan telah berada di Kompleks Belia dan Sukan Air Keroh, Melaka untuk membantu Sekretariat Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 melatih para sukarelawan yang akan berkhidmat dengan berbagai Jawatankuasa dan Sukan sepanjang berlangsungnya sukan dwi tahunan itu. Latihan di Air Keroh adalah merupakan untuk kumpulan kedua dan ketiga setelah latihan yang sama dilaksanakan di Kompleks Rakan Muda Lendu, Alor Gajah Melaka. 

Perasmian latihan tersebut disempurnakan oleh YB Datuk Kapt(B) Hj Ab. Karim bin Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010. 

Seramai 418 orang sukarelawan yang terdiri dari berbagai peringkat umur, latar belakang pekerjaan dan bangsa telah hadir untuk mendapatkan latihan sebelum mereka ditugaskan dalam Sukan Malaysia yang akan berlangsung dari 10 hingga 19 Jun 2010. 

Lapan orang fasilitator telah terlibat dan mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang latihan personel khususnya sukarelawan beberapa temasya sukan besar di negara ini seperti Sukan Komanwel Kuala Lumpur 98, beberapa siri Sukan SEA dan juga badan-badan lain yang berkaitan. 
Para peserta telah didedahkan dengan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai sukarelawan kerana mereka nanti akan merupakan sebagai duta kecil kepada sukan itu sendiri disamping membawa imej kerajaan Negeri Melaka dan juga Malaysia. Mereka telah diingatkan bahawa segala tingkah laku mereka ketika berkhidmat kelak akan mempamerkan keikhlasan masing-masing untuk berkhidmat secara sukarela dan tidak mengharapkan apa-apa habuan dari mana-mana pihak. 

Komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta semasa latihan adalah tinggi dan ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk berkhidmat di Sukan Malaysia kelak. 
Satu lagi latihan akan diadakan juga di tempat yang sama pada 25 April nanti di tempat yang sama dan kali ini untuk sukarelawan yang akan bertugas di venue-venue di Jasin.
Walaupun memenatkan kerana bertugas dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang, tetapi kepuasan terasa di kalangan para fasilitator kerana dapat memberikan tunjukajar dan pengalaman mereka dan para sukarelawan telah memberikan respons yang positif. Semoga semangat kesularelaan akan terus bertapak di kalangan masyarakat Malaysia khususnya di kalangan remaja kerana khidmat bakti mereka bukan sahaja mendapat penghargaan di dunia tetapi juga pembalasan di akhirat jika melakukan dengan niat yang ikhlas. 

No comments:

AFFILIATE

Powered By Blogger