Saturday, April 10, 2010

Isu Keselamatan Dalam Sukan

Wanita maut hijab lilit gandar go-kart
Berita ini disiarkan di dalam Metro. Saya juga telah membacanya di TheStar.
Jangan persalahkan agama jika kemalangan itu berlaku. Salahkan pengguna itu sendiri.
Untuk bersukan ada etika pakaiannya, jadi patuhi etika berpakaian untuk sukan berkenaan.

Baru-baru ini juga kita dikejutkan dengan kematian seorang pelatih lumba basikal TLDM setelah terlibat dalam satu kemalangan dengan rakan sepasukan semasa latihan. Walaupun pelumba tersebut tidak berada di dalam senarai pelatih di bawah program Majlis Sukan Negara, tetapi sebagai atlet yang ada kemungkinan dapat menjadi atlet kebangsaan satu hari nanti, MSN memandang berat dan mengambil inisiatif untuk tidak mengabaikan kebajikan Allahyarhamah.

Malang sememangnya tidak berbau tetapi sebagai manusia kita perlu berusaha untuk mengelakkannya. Setiap orang yang terlibat adalah bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan sama ada dari segi pakaian, peralatan, persekitaran mahupun aktiviti yang dijalankan. Atas sebab itulah pendidikan Sains Sukan adalah perlu diketahui oleh semua orang dan bukan hanya tertakluk kepada jurulatih sahaja. Orang awam, seperti penonton juga bertanggungjawab dalam hal-hal keselamatan semasa bersukan. Bukan kita tidak pernah dengar ada orang awam cedera atau maut semasa menyaksikan acara-acara sukan.

Apabila melibatkan diri dalam sukan, perkara pertama yang patut dititikberatkan ialah keselamatan.

Dalam Kursus Sains Sukan kepada jurulatih-jurulatih sukan, setiap kali apabila membincangkan tajuk Kompetensi Kejurulatihan, ada dua topik yang menekankan tentang keselamatan. Pertama ialah apabila jurulatih hendak merancang program latihan atau periodisasi. Dalam perancangannya, jurulatih itu hendaklah mengambil kira keselamatan terlebih dahulu. Perkara ini juga dibincangkan apabila menyentuh mengenai merancang sesi latihan. Perkara utama yang diletakkan di atas sekali ialah keselamatan. Oleh itu keselamatan bukan sesuatu yang dipandang remeh apabila melibatkan diri dengan sukan.

No comments:

AFFILIATE

Powered By Blogger