Hadir untuk mengajar dalam Kursus Sukan SPKK Tahap II di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Macam biasa topik yang diberikan ialah Falsafah Sukan dan Sukan di Malaysia.
Sampai awal selepas hantar anak kerana bimbang tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas. Maklumlah waktu itu waktu orang ke pejabat dan laluannya pula menghala ke Pusat Bandaraya.
Jalan tidak begitu sesak, kerana mungkin masa agak awal. Tiba di Stadium Bolasepak KL lebih kurang jam 7.30 pagi. Masih terlalu awal kerana kelas jam 9.00 pagi. Pergi minum dulu di Bandar Seri Permaisuri.
Tiba semula ke Stadium Bolasepak jam 8.45 pagi. Masuk kelas peserta ramai masih belum tiba. Bila tanya penyelaras, dia cakap peserta pergi minum. Ah, tabiat orang Malaysia. Inilah salah satu aspek yang menjadikan orang Malaysia tidak profesional dalam melaksanakan aktivitinya. Masih kukuh berbegang pada jam Melayu.
Peserta sepatutnya sudah berada di dalam kelas sebelum kelas itu bermula lagi. Duduk dengan tenang dan bersedia untuk berkursus. Amalan tiba lewat adalah sesuatu yang sepatutnya dikikis dari senarai sikap kita. Lagi pun kursus hanya 6 hari sahaja. Apa salahnya dalam masa 6 hari itu, korbankan sedikit masa untuk hadir sebelum masanya.
Peserta adalah jurulatih dan bakal jurulatih. Jika begitulah sikapnya jurulatih sukan kita, bagaimana hendak memupuk tabiat positif kepada atlet. Pepatah Guru kencing berdiri murid kencing berlari sewajarnya dijadikan iktibar.
Dulu semasa mengajar Kompetensi Kejurulatihan, saya selalu tekankan tentang mematuhi masa. Dalam memenuhi tuntutan masa, jurulatih hendaklah menjadi contoh kepada atletnya. Walaupun dari segi pengurusan kerja, jurulatih boleh memberikan arahan lebih awal tentang apa yang perlu dibuat, tetapi sebagai contoh, jurulatih juga hendaklah tiba di tempat latihan lebih awal. Jurulatih bukanlah Tuan Besar kepada atlet, tetapi hendaklah menjadi kawan.
OK, hampir setengah jam, baharu separuh sahaja peserta yang ada. Dah setengah jam masa terbuang. Dah buang masa menunggu peserta, LCD projector pula tidak berfungsi. Terbaung masa lagi berusaha untuk menghidupkan LCD projector itu. Dah habis satu jam. Bermakna masa untuk topik pertama selama satu jam terbuang begitu sahaja dan tidak banyak ilmu dapat diterapkan kepada peserta.
Semasa rehat ada pegawai dari MSKL datang untuk berusaha membolehkan LCD projector tersebut dapat digunakan. Akhirnya mereka juga give up. Masih tidak dapat digunakan. Sehingga tamat kelas lebih kurang jam 1.00 tengahari, aku terpaksa memberikan syarahan tanpa menggunakan alat bantu mengajar. Walaupun pengajaran dapat dijalankan tetapi tidak lancar kerana sekali sekala terpaksa merujuk kepada buku nota untuk memastikan tidak ada perkara yang tertinggal. Usaha aku untuk membaiki dan menyediakan powerpoint presentation sia-sia sahaja.
Apa yang berlaku sewajarnya pegawai yang bertanggungjawab berada di tempat kursus untuk memantau perkara-peraka seperti itu. Bukan sekadar tengok peserta sudah ada dan kemudian hilang terus. Tinggallah aku dengan peserta sahaja.
Dalam pengurusan kursus, biasanya ada urusetia, atau sekurang-kurangnya ada wakil untuk mengambil sebarang tindakan serta merta jika diperlukan. Bagi aku pegawai yang bertanggungjawab tidak berjaya melaksanakan tugasnya. Dia sepatutnya berada di tempat kursus untuk memastikan segalanya berjalan lancar.
Semasa zaman aku menguruskan kursus berkenaan dulu pun, bukan sepanjang masa aku berada di tempat kursus. Tetapi sebelum meninggalkan tempat itu, aku pastikan semuanya teratur. Penceramah sudah hadir, Alat Bantuan Mengajar berjalan dengan lancar. Bila semuanya OK dan kelas bemula maka, aku pergi juga mengeteh. Bukan bermakna orang bertanggungjawab kena sentiasa berada di tempat kursus. Penceramah pun tidak selesa jika ada pihak Urusetia duduk di belakang kelas sepanjang masa. Seolah-olah hendak memantau pengajaran walaupun bukan itu tujuannya.
No comments:
Post a Comment