Monday, May 28, 2012

Mengharap Si Jaguh Sahaja

Satu jalan keluar yang agak perit juga kepada pasukan Piala Thomas negara apabila mereka tewas 3-0 kepada China dalam perlawanan suku akhir. Sudah pasti antara sebab kekalahan tersebut ialah kerana ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang ditimpa kecederaan dalam perlawanan dengan Denmark di peringkat kumpulan. Bukan kehendak Datuk LCW tetapi itulah hakikatnya, Datuk LCW adalah pembakar semangat kepada pemain lain dalam pasukan negara.

Apa yang berlaku dalam kempen Piala Thomas di Wuhan itu sebenarnya adalah unjuran dari pengalaman lama Malaysia dan kita tidak mahu belajar dari kesilapan itu. Keterlampauan bergantung kepada Datuk LCW sebagai anchor telah memadamkan harapan negara untuk membawa balik Piala paling berprestij dalam badminton ke bumi Malaysia sebagai pembakar semangat sebelum bertandang ke London pada bulan Julai nanti.

Rasanya hampir semua peminat sukan di negara kita menyedari bahawa atlet-atlet kita tidak ada barisan pelapis yang boleh diketengahkan di saat-saat negara memerlukan kesinambungan itu. Kebanyakan persatuan rasa selesa bergantung kepada seorang juara tanpa melihat secara serius keperluan adanya second stringer yang hampir sama kualitinya dengan juara tersebut.

Apabila Datuk LCW tidak dapat beraksi, pemain paling hampir dengan beliau ialah Liew Darren. Namun tahap persembahan Liew Darren agak jauh berbanding kemampuan Datuk LCW. Sekiranya Datuk LCW mengambil keputusan untuk bersara dari bermain secara aktif untuk negara, adakah Liew Daren bersedia untuk mengisi kekosongan itu dan berada di puncak seperti Datuk LCW dalam masa terdekat. Kemudian persoalannya siapa selepas Liew Daren?

Sama juga dengan bergu, siapa selepas Khoo Kean Kiat - Tan Boon Heong?

Itu badminton.

Kita tengok dalam sukan lain.

Selepas Watson Nyambek mengantung spikenya, muncul Nasmizan Mohammad yang kemudiannya bersara selepas mengalami kecederaan. Selepas Nazmizan, ada kekosongan dalam acara century sprint untuk negara kita. Ramai mengharapkan Abdul Latif Nyat untuk muncul mengisi kekosongan itu tetapi semasa melihat beliau berlari di Sukma 2006 di Alor Setar saya sudah nampak beliau tidak dapat menampung kekosongan itu. Saiz dan teknik larian beliau tidak memaparkan seorang pelari pecut. Sehingga kini kita masih belum mendapat lagi pelari pecut setanding watson Nyambek.

Dalam skuasy, siapa selepas Datuk Nicol David? Dulu kita ada Sharon Wee, tetapi Sharon beralih arah menjadi pengacara di Astro.

Jika kita melihat dalam hampir semua sukan yang kita cemerlang di peringkat antarabangsa, kita terus bergantung kepada sesiapa sahaja yang berada paling atas tanpa melihat second stringer.

Majlis Sukan Negara telah melakar laluan yang betul apabila mengujudkan program Tunas Cemerlang pada penghujung tahun 90an. Pengalaman saya sebagai salah seorang jurulatih pioneer dalam program tersebut pada tahun 1989 mendapati kurangnya kerjasama dari persatuan sukan. Sepanjang penglibatan saya melatih atlet program TC itu tidak ada pun kelibat persatuan sukan sama ada peringkat negeri atau kebangsaan yang datang menjenguk.

Program TC adalah salah satu program yang boleh membantu melahirkan ramai atlet yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa. Saya masih ingat lagi pada masa itu dalam bidang olahraga, program tersebut telah mencungkil bakat beberapa bakat seperti Zamsairon Mohd Dan, Abdul Malek Tobias, Nik Nor Azura, Kamarudizaman, Chai Song Lip sekadar menyebut beberapa nama yang saya ingat.

Sayangnya Program yang baik itu menjadi mangsa program yang ada unsur politik. Ia digantikan dengan Program Sukan Teras dan kini ditukar pula kepada Program Pelapis. Program Tunas Cemerlang tidak sepatutnya dimansuhkan kerana ia melibatkan peringkat umur.

Sekarang dengan adanya Program Pelapis di Majlis Sukan Negara dan diterajui oleh En. Jefri Ngadirin, sudah semakin nampak kesannya. Atlet-atlet di bawah program tersebut semakin menunjukkan peningkatan jika berdasarkan kejohanan-kejohanan yang mereka ambil bahagian. Semoga Program Pelapis ini tidak menjadi mangsa seperti Tunas Cemerlang dan Sukan Teras. Biarlah atlet second stringer ini terus matang di bawah Program Pelapis sebelum bersedia untuk berada di barisan hadapan.

Barangkali FAM sudah terbuka sedikit minda mereka dengan menubuhkan kembali pasukan Harimau Muda yang pada satu masa dahulu dibubarkan. Kini Harimau Muda semakin menunjukkan tarignya walaupun untuk mengembalikan status sebagai sebuah pasukan yang disegani seperti pada tahun 70an dahulu adalah satu uphill task. Sekadar menjadi juara peringkat Asia Tenggara tidak akan menjadikan kita sebagai jaguh yang sudah tersedar dari lenanya.

No comments:

AFFILIATE

Powered By Blogger